Bagaimana Memastikan Para Pekerja Anda Bekerja Dengan Produktif dan Sistematik

Persoalan tentang cara untuk menambahbaik kualiti kerja serta pekerja pastinya wujud tanpa mengira saiz organisasi mahupun perniagaan. Persoalan seperti “Apakah cara untuk membantu para pekerja melaksanakan tugas mereka dengan sempurna?” “Bagaimanakah caranya untuk memastikan pekerja mampu bekerja dengan baik dan berkualiti?” – hanyalah sebahagian dari persoalan dan permasalahan yang wujud dalam mana-mana organisasi.

Pekerja adalah individu yang diambil bekerja oleh majikan di bawah suatu kontrak atau secara tetap untuk berkhidmat bagi sesuatu organisasi mahupun perniagaan. Manakala majikan pula ialah organisasi mahupun individu yang telah memberikan kontrak serta bersetuju untuk menerima perkhidmatan yang ditawarkan oleh pekerja pada kadar bayaran tertentu.

Sebagai majikan, antara perkara yang harus dititikberatkan ialah cara untuk meningkatkan produktiviti pekerja serta memastikan mereka bekerja dalam suasana yang membolehkan mereka untuk membebaskan potensi mereka sepenuhnya. Ini adalah penting kerana pekerja yang diberi peluang dan ruang untuk mengembangkan potensi mereka mampu berfikir secara kreatif dan kritis.

Pemikiran secara kreatif dan kritis bukan sahaja bermanfaat untuk seseorng individu, tetapi turut menyumbang kepada kecemerlangan prestasi dan peningkatan dalam produktiviti sesebuah organisasi.

Walaupun pada hakikatnya tiada cara sebenar yang mampu menjamin prestasi seseorang pekerja, berikut adalah beberapa pendekatan yang boleh membantu pekerja anda untuk bekerja dengan lebih produktif:

Tetapkan matlamat yang seimbang dan realistik

Penetapan matlamat dapat membantu para pekerja dalam menentukan perkara yang perlu diberi keutamaan dalam usaha untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan.

Matlamat yang ditetapkan juga haruslah seimbang yakni tidak mustahil dan tidak terlalu mudah untuk dicapai.

Dengan cara ini, para pekerja dapat memberi sepenuh perhatian dan usaha untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan.Kemampuan mereka untuk menyelesaikan sesuatu tugas juga dapat dinilai.

Memantau perkembangan dan prestasi para pekerja

[restrict]

Jika para pekerja telah menerima sesuatu tugasan atau sesuatu projek, salah satu cara terbaik untuk memastikan tugasan tersebut akan dilaksanakan adalah dengan melakukan pemantauan secara tetap mahupun berkala.

Dengan cara ini para pekerja akan menyiapkan tugasan mereka secara progresif dan lebih sistematik. Setiap tugasan juga akan disiapkan secara berperingkat-peringkat dari semasa ke semasa. Secara tidak langsung, prestasi pekerja juga dapat dinilai berdasarkan perkembangan mereka.

Gunakan Teknologi

Teknologi seperti tablet, komputer riba mahupun telefon pintar adalah antara peralatan yang dapat membantu para pekerja untuk menyiapkan pekerjaan mereka dimana sahaja dan pada bila-bila masa. Antara inisiatif yang boleh diambil oleh pihak majikan ialah dengan menyediakan peralatan tersebut untuk kegunaan para pekerja.

Misalnya,dengan memberi peralatan tersebut kepada mereka pada hari bekerja dan mengambilnya pada waktu cuti. Dengan cara ini mereka boleh menyiapkan tugasan yang diberikan tanpa kekangan peralatan dan tanpa mengira tempat mahupun waktu serta dapat mengelakkan penyalahgunaan peralatan yang telah diberikan untuk tujuan peribadi.

Berkenalan dengan para pekerja

Bertanya khabar tentang ahli keluarga para pekerja misalnya atau bertanya tentang para pekerja tentang hari mahupun keadaan mereka adalah salah satu cara yang baik untuk mendekati mereka. Dengan cara ini, hubungan yang baik antara pekerja dan majikan dapat diwujudkan.

Para pekerja juga akan berasa lebih dihargai dan dipedulikan apabila majikan mengambil berat tentang mereka dan kehidupan mereka. Secara semulajadinya, pemahaman tentang motivasi utama seseorang pekerja juga akan wujud.

Apabila para pekerja tahu dan merasakan bahawa majikan menganggap mereka penting dan berharga, mereka akan bekerja dengan lebih gigih dan rajin. Ianya juga akan memudahkan majikan dalam memberi kritikan mahupun teguran yang membina kerana mereka akan menganggap bahawa teguran mahupun kritikan tersebut berniat dan datang dari tempat yang baik.

Kesimpulannya, terdapat pelbagai inisiatif yang boleh diambil dalam usaha memastikan para pekerja anda melaksanakan tugasan yang diberikan dengan baik. Langkah-langkah yang dinyatakan diatas merupakan sebahagian daripada cadangan mahupun panduan tentang apa yang boleh dilakukan. Setiap individu adalah unik dan berbeza, justeru pendekatan yang ingin digunakan haruslah bersesuaian dengan cara kerja dan budaya syarikat serta individu yang berkenaan.

[/restrict]

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *